Sunday, March 11, 2012

istilah cinta dan rindu




Jarang orang berbicara tentang cinta , rindu dan cemburu. Ramai juga yang selalu terlalu prejudis terhadap cinta. Menganggap cinta dan rindu sebagai suatu perkara yang buruk dan menjijikkan. Golongan yang paling ramai berpandangan sedemikian ialah para remaja. Malah golongan remaja jugalah yang menyalah ertikan tentang maksud cinta dan rindu sehingga terlalu berlebih-lebihan di dalam melaksanakan maksud cinta yang dicipta oleh mereka dengan melakukan perkara-perkara maksiat. Tidak dapat dinafikan ada yang sanggup berzina dengan pasangannya hanya dengan menggunakan istilah “ cinta” dan “rindu”.

Mungkin kerana wujud golongan yang menyalahgunakan erti sebenar cinta , maka golongan remaja yang menjaga peribadi mereka juga turut memandang serong terhadap cinta.

Cinta juga makhluk. Rindu juga makhluk ciptaan Allah taala. Seseorang akan menjadi musuh terhadap sesuatu yang dia tidak kenali dengan mendalam. Kalau ingin membenci cinta maka sepatutnya perlu berlaku adil padanya. Perlu kenal apa itu cinta terlebih dahulu. Perlu kenal apa itu rindu terlebih dahulu.

Cinta, rindu dan cemburu merupakan tiga perkara yang tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Ketiga-tiga perkara ini wujud di dalam hati sanubari seseorang. Ianya juga banyak membantu di dalam kehidupan seseorang. Ya benar, Allah taala tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan perkara itu ada tugasnya tersendiri. Lemahnya adalah kita yang tidak mampu mencari hikmahnya.

Tanpa cinta, kita tidak akan wujud di dunia ini. Tanpa cinta seseorang boleh berlaku kejam terhadap keluarganya. Tanpa cinta dunia akan gelap gelita tanpa sinar.                                              
Kerna kurangnya rasa cintalah yang menyebabkan seseorang itu berlaku kejam terhadap saudaranya. Begitu juga rindu dan cemburu. Tanpa cemburu seseorang boleh membiarkan kekasihnya melakukan maksiat. Tanpa cemburu maka seorang isteri akan membiarkan suaminya bermain kayu tiga dan tanpa cemburu jugalah menyebabkan seseorang akan membiarkan hatinya dipermainkan orang lain.

Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini. Sama-sama ikuti moga kita mendapat manfaatnya.

Cinta menurut al-Qadhi al-Syeikh Muhammad Ahmad Kan’an di dalam kitabnya Usul al-Muasyarah al-Zaujiyah ialah kecenderungan hati terhadap perkara yang dicintai. Cinta sebenarnya adalah perbuatan dan amalan hati. Bukan amalan anggota badan.

Tanpa cinta ini maka perkahwinan tidak akan berjaya dan bahagia. Perlu difahami dengan baik, yang memberikan kebahagian dan ketenangan bukanlah zat cinta itu sendiri, bahkan yang memberikannya kepada kita ialah Pemilik Cinta itu sendiri iaitu Allah Yang Maha Pencinta dan Pengasih. Cuma cinta ini sebagai satu wasilah bagi mencapai ketenangan itu.

Menurut al-Qadhi Muhammad Kan’an lagi, kunci utama kepada cinta bermula dengan pandangan mata. Oleh sebab itulah Baginda menggalakkan kepada sesorang yang ingin bertunang agar melihat terlebih dahulu kepada tunangnya agar bertambah rasa cinta dan rindu...


Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasa’ie rahimahumallah daripada Saidina Syukbah radhiyallahu anhu katanya:


خطبت امرأة فقال لي رسول الله صلى الله عليه و سلم: هل نظرتَ إليها ؟ قلتُ : لا , قال : فانظر إليها فإنه أحرى أن يؤدَمَ بينكما

Maksudnya: "Aku telah meminang seorang wanita. Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam bertanya kepadaku: Adakah kamu telah melihatnya wahai Syukbah? Aku menjawab: Tidak Ya Rasulallah. Maka sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Lihatlah padanya, sesungguhnya dengan melihat itu akan menjadikan kamu berdua merasa lebih serasi dan berkenan."







sesuatu yang perlu kita fahami ialah cinta sebenar adalah cinta yang ingin dibina atas dasar iman. Maksud saya bukan sekadar bercinta tetapi meletakkan bahawa wanita yang dicintainya dan lelaki yang dicintainya akan dijadikannya sebagai isteri dan suami. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma:

لم يُرَ للمتحبَين مثل النكاح

Maksudnya:" Tidaklah dilihat kepada dua orang yang sedang bercinta melainkan pernikahan."



No comments: