Saturday, March 30, 2013

'' Khalifah ''

Bismillahirrahmanirrahim..

sebenarnya dah lama nak share tapi tak tershare.. Alhamdulillah dapat juga untuk share.. harapi ada input yg baik..

‘Khalifah’ secara bahasanya bermaksud ‘pengganti’ atau ‘wakil’.  Apabila kita mengatakan manusia adalah khalifah ALLAH, ini bermakna kita mengatakan secara langsung atau tidak langsung bahawa manusia adalah pengganti ALLAH atau wakil ALLAH.  Bolehkah kita mengatakan begitu?
Tidak!  Sama sekali tidak!


Manusia bukanlah pengganti atau wakil ALLAH...  ALLAH tidak memerlukan pengganti atau wakil.  DIA lah Al-Hayyu, Tuhan Yang Maha Hidup yang tidak perlukan sesiapa pun menggantikanNYA.  DIA lah Al-Qayyum, Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri yang tidak memerlukan bantuan sesiapa dalam melakukan kehendakNYA.  ALLAH tidak memerlukan sesiapa pun untuk diserahkan urusanNYA kepada makhluq. 


Tetapi makhluq lah yang menyerahkan urusannya kepada ALLAH.  ALLAH lah Al-Wakil, Tuhan Yang Maha Diserahkan Semua Urusan.  Maha Suci ALLAH dari sifat-sifat lemah dan kekurangan makhluq.


Jika digunakan perkataan ‘manusia adalah khalifah ALLAH’ dengan sedar dan tahu akan maknanya, kita khuatir aqidah seseorang yang mengatakannya boleh jadi rosak. ..  Moga2 ALLAH mengampunkan kejahilan kita semua, amin.


Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak pernah menggunakan perkataan ‘khalifah ALLAH’ sebagai menggambarkan dirinya yang mulia.  Tetapi Baginda menggunakan istilah ‘Hamba ALLAH’ atau ‘Pesuruh ALLAH’.
Selepas kewafatan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, pemimpin ummat Islam yang menggantikan posisi


Baginda dalam memimpin ummat Islam digelar sebagai ‘Khalifaturrasul’ atau ‘Khalifah Rasul’ yang membawa maksud ‘Pengganti Rasulullah’.  Abu Bakr radhiAllahu `anhu menggunakan gelaran tersebut sehingga beliau meninggal dunia.  Kepimpinan Abu Bakr radhiAllahu `anhu kemudian disambung oleh `Umar radhiAllahu `anhu.  Beliau menggunakan gelaran ‘Khalifatukhalifaturrasul’ yang membawa maksud ‘Pengganti kepada Pengganti Rasulullah’, iaitu pengganti kepada Abu Bakr. 


Kemudian beliau menukar gelaran tersebut kepada ‘Amirul Mukminin’ yang bermaksud ‘Pemimpin Orang-orang Beriman’ yang lebih memudahkan untuk generasi seterusnya.  (Bayangkan jika pemimpin selepas beliau menggunakan gelaran ‘Khalifatukhalifatukhalifaturrasul’, kemudian ‘Khalifatukhalifatukhalifatukhalifaturasul’ dan seterusnya...


Jadi, kalimah ‘khalifah’ membawa maksud pengganti.  Sudah tentulah perkataan ‘Khalifah ALLAH’ tidak sewajarnya dilekatkan pada diri kita.  Sedangkan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sendiri tidak pernah menggunakannya untuk dirinya yang mulia, apatah lagi kita.  Ditambah pula dengan maknanya yang tidak baik sebagaimana yang telah diterangkan di awal penulisan.


Kalimah ‘Khalifah’ Dan Berkaitannya Di Dalam Al-Quran

ain telah senaraikan beberapa kalimah yang terdapat pada ayat2 Quran merujuk kepada kalimah ‘khalifah’, antaranya ialah:

(1)  Surah al-Baqarah, 2:30
(2)  Surah al-An`am, 6:133
(3)  Surah al-An`am, 6:165
(4)  Surah al-A`raf, 7:69
(5)  Surah al-A`raf, 7:74
(6)  Surah al-A`raf, 7:129
(7)  Surah Yunus, 10:14
(8)  Surah Yunus, 10:73
(9)  Surah Hud, 11:57
(10)  Surah an-Nur, 24:55
(11)  Surah an-Naml, 27:62
(12)  Surah Fatir, 35:39
(13)  Surah Sad, 38:26

andai ada lagi silah share ye.. 


Jika diteliti di dalam ayat-ayat di atas, tiada satu pun kalimah ‘khalifah’ didampingkan dengan kalimah ‘ALLAH’ seperti ‘khalifah ALLAH’.  Dan jika diamati kalimah-kalimah yang digunakan di dalam al-Quran yang mempunyai kaitan dengan kalimah ‘khalifah’, semuanya membawa maksud menggantikan, iaitu menggantikan kaum tertentu...


Jadi, Bagaimana Sekarang?
Sebaik-baiknya kita berhati-hatilah terhadap perkataan-perkataan yang boleh membawa makna yang tidak elok seperti menyebut ‘manusia adalah khalifah (pengganti) ALLAH’ kerana maknanya boleh melunturkan aqidah.  Jika mahu disebut juga, sebutlah ‘ALLAH jadikan manusia sebagai khalifah’ atau ‘manusia adalah khalifah’.  Itu lebih selamat.  Dan sebegitulah disebut di dalam al-Quran.


Jika dilihat pada ayat 30 dari surah al-Baqarah, manusia telah dijadikan oleh ALLAH sebagai menggantikan kaum yang telah membuat kerosakan dan kemusnahan kepada bumi iaitu kaum jin.  Ya, manusia adalah pengganti kaum jin.  Mungkin kalau mahu disandarkan juga perkataan ‘khalifah’ itu dengan sesuatu, maka bolehlah disandarkan ia dengan perkataan ‘jin’. 


Jadilah ia ‘manusia adalah khalifah jin’.  Tidak sedap bukan?  Itulah hakikatnya.  Jadi, cukuplah kita mengatakan ‘manusia adalah khalifah’.  Jika hendak lebih menginsafkan dan lebih tepat, sebutlah kita ini hamba ALLAH yang setiap perbuatan kita semuanya akan dipertanggungjawabkan!
Manusia bukanlah khalifah ALLAH.  Maha Suci ALLAH dari diganti atau diwakil.


Semoga kita semua menginsafi asal kejadian dan matlamat kehidupan kita, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyembah dan menghamba-abdikan diri kita kepada ALLAH.

ALLAHU A`LAM.,,
semua yang silap datang dari ain sendiri...

No comments: