Monday, August 6, 2012

Lilin yang menyinari di hati kalbu




Ramai yang terlupa bahawa ibu yang melahirkan kita itu sebenarnya cuma ada satu sahaja di dunia ini...

Yang sanggup memikul tugas dan tanggungjawab dengan membawa kita ke hulu ke hilir selama sembilan bulan. Dialah satu-satunya ibu  yang tidak sabar menanti kehadiran kita untuk muncul ke dunia ini...


Lalu bilamana kita muncul di dunia ini, segala kesakitan dan juga kepedihan yang dirasai sebelum itu hilang serta-merta. Bahagia dan senang hati. Ceria dan puas hati. Mengalir air mata gembira membasahi pipi.


Tersenyum sang ibu ketika mana tubuh kita yang kecil dan tidak bermaya menangis-nangis dalam dakapan belaian kasih sayangnya. Diusap manja kepala kita. Ditepuk lembut badan kita. Menyimpan impian agar kita menjadi anak soleh dan solehah...


Hari demi hari berlalu. Masa dan waktu bergerak begitu laju. Maka membesarlah kita sebagai seorang anak kepada kedua ibu dan ayah.


Celoteh, gelak tawa, dan tindak-tanduk kita menjadi pengubat kepada keletihan dan kelesuan Ibu dalam mendidik dan mengasuh...


Ada masa kita menangis. Ada masa kita memberontak. Ada masa kita gembira. Ada masa kita keseorangan. Ada masa kita marah. Ada masa kita inginkan belaian kasih sayang...


Namun, kerana kelembutan dan kemesraan ibu… ibu sentiasa mendekat dan menghampiri kepada kita dengan menjadi seorang pendengar yang baik. Itulah ibu. Satu-satunya ibu di dunia ini. Masakan ada pengganti?


Satu masa nanti, kita semua pasti akan melalui detik-detik yang sama. Detik ibu akan pergi meninggalkan kita...

Detik kita ingin mengucup dahi ibu buat kali terakhir.

Detik kita ingin berada dalam dakapan ibu buat sekian kalinya.

Sungguh, detik itu bakal tiba ..Tidak ada siapa mampu menghalangnya.

Tinggal, sudah bersediakah kita untuk mengharungi detik itu? Sudah ada atau belum tangisan kebanggaan yang mengalir di pipi ibu dengan melahirkan kita? Sudah berbakti atau belum kita kepada ibu?

Ya, itulah kita. Saat ibu masih ada, kita susah untuk menghargai. Tetapi apabila Allah menjemput ibu pergi, menangisnya kita bersungguh-sungguh tidak ada gunanya lagi.

Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah. Doakan agar Allah sayang kepada ibu dan ayah seperti mana mereka menyayangi kita sewaktu kita kecil dan besar.  

Bagi yangt berjauhan dengan ibu, luangkanlah masa seketika untuk menghubungi ibu...




Bagi yang punya kesempatan untuk bersama-sama dengan ibu, gembiralah hati mereka dengan membantu meringankan beban... Cerialah jiwa mereka dengan membuatkan ibu senang dengan kita..

Dan bagi anda yang ibu sudah pergi, jangan putus-putus menembak doa. Mudah-mudahan Allah mendengar doa kita lalu mampu memberi sedikit cahaya buat ibu di sana...


Notacinta : Saya sayang emak saya. Dan saya sentiasa rindukan beliau walaupun semalam baru balik ke rumah... hehee

No comments: